Pelan Natasya Shoppe
Buka 100 Cawangan Dalam Setahun
Oleh Zulfa Mohamad <zulfa@hmetro.com.my>
Harian Metro 16 Mei 2007
Syarikat Perwanza Enterprise (M) Sdn Bhd (Perwanza), pengeluar produk kecantikan Natasya mensasarkan untuk membuka 100 cawangan Natasya Shoppe di Negara ini dalam tempoh setahun.
Buat permulaan, sebanyak RM5 juta diperuntukkan untuk tujuan pembukaan cawangan di pasar raya Giant dan Tesco seluruh Negara termasuk di Sabah , Sarawak dan Brunei .
Cawangan pertama Natasya Shoppe dibuka di pasar raya The Summit, Bukit Mertajam, Pulau Pinang.
Pengasas produk, Datin Muniroh Kasim, berkata pembukaan rangkaian Natasya Shoppe memberi peluang kepada usahawan Bumiputera yang berminat dalam perniagaan produk kecantikan selain pengurus negeri dan pengedar yang sedia ada.
Menurutnya, pembukaan cawangan Natasya Shoppe membolehkan pelanggan mendapatkan teknik penggunaan kosmetik dengan betul melalui promoter yang diberi latihan dan kursus.
"Produk Natasya berasaskan herba berfungsi merawat jerawat dan jeragat tanpa pengelupasan selain produk nombor satu dalam senarai keluaran tempatan."
"Jadi, sewajarnya kami menghargai pelanggan dengan membuka cawangan bagi memudahkan mereka berurusan kerana bayaran melalui kad kredit juga diterima," katanya ketika ditemui selepas majlis pembukaan rasmi cawangan pertama Natasya Shoppe di Pasaraya The Summit , Bukit Mertajam, kelmarin.
Ketika ini ada 19 rangkain produk Natasya, manakala lima lagi produk terbaru ialah gamat, gel mata, rangkaian produk spa, produk jagaan bayi dan kanak-kanak serta kolagen pembersih.
Harga yang ditawarkan adalah antara RM14.90 hingga RM200 dan sesuai untuk wanita perlbagai peringkat usia.
Muniroh berkata, selepas tiga tahun berada di pasaran, produk Natasya mempunyai kekuatan tersendiri malah pembukaan lebih banyak cawangan akan menyekat pengedaran produk tiruan.
"Kami turut menyediakan kemudahan seperti pembiayaan pinjaman kepada usahawan berminat tidak kira wanita atau lelaki," katanya.
|